SELAMAT DATANG KE BLOG SAYA

Diharap anda dapat memberikan komen yang membina ke atas blog saya



Selasa, 7 September 2010

Pelabur asing Tidak ada wang Untuk Melabur,

Sumber asal : Utusan Online , 1 Ogos 2010 (di sini)
Pelabur asing tidak ada wang untuk melabur – Dr. Mahathir

KUALA LUMPUR 1 Ogos – Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, kemerosotan pelaburan langsung asing (FDI) ke negara ini disebabkan pelabur asing seperti dari Amerika Syarikat (AS) dan Eropah tidak mempunyai wang untuk dilaburkan.

Bekas Perdana Menteri memberitahu, pelabur terbabit juga memerlukan wang yang mereka ada untuk dilaburkan di dalam negara sendiri berikutan keadaan ekonomi yang semakin teruk terutama di Eropah dan AS.

”Keadaan ekonomi Eropah dan AS amat terjejas berikutan krisis kewangan yang melanda negara terbabit sehingga ramai rakyatnya tidak mempunyai pekerjaan.

”Kebanyakan pelabur terpaksa menumpukan kepada pelaburan di dalam negara masing-masing kerana ia amat diperlukan di sana, ini bermakna mereka tidak akan membuat pelaburan besar di negara lain,” katanya.

Beliau yang merupakan Pengerusi The Loaf berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan cawangan keempat The Loaf di IOI Boulevard di Puchong dekat sini hari ini.

Turut hadir isteri beliau, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali dan Pengarah Urusan The Loaf, Jiro Suzuki.

Dr. Mahathir mengulas mengenai Malaysia mencatat kejatuhan FDI sebanyak 81 peratus tahun lalu kepada AS$1.38 bilion (RM4.22 bilion) berbanding AS$7.31 bilion (RM23.39 bilion) pada 2008 yang merupakan rekod terburuk dialami negara sejak 15 tahun lalu.

Sehubungan itu, beliau meminta kerajaan mengkaji bagi meningkatkan pelaburan dalam negeri seperti yang dilakukan oleh negara-negara lain.

Sementara itu, mengenai The Loaf, Dr. Mahathir memberitahu, kedai roti premium berasaskan resipi Jepun itu menerima banyak permohonan untuk memfrancais jenama kedai tersebut termasuk dari Singapura dan Indonesia.

”Memang menjadi hasrat The Loaf untuk memfrancais perniagaan tetapi masanya belum tiba, memandangkan pihak pengurusan perlu mendapatkan data yang tertentu bagi memastikan ia akan memberi keuntungan mencukupi.

”The Loaf perlu memastikan bahawa jenama ini mampu menarik pelanggan setiap masa dan dapat mencatatkan keuntungan yang maksimum, bagi memastikan setiap kedai francais yang dibuka akan dapat keuntungan sewajarnya,” katanya.

Beliau memberitahu, usaha untuk memfrancais The Loaf akan dibuat secepat mungkin selepas semua data dan jenama itu mendapat pengiktirafan sewajarnya daripada pelanggan.

Dr. Mahathir memberitahu, adalah tidak rasional untuk The Loaf mengendalikan semua cawangannya dan cara terbaik ialah melalui francais yang dilakukan pada masa yang sesuai.

The Loaf juga akan membuka cawangan kelima di Bangsar sebelum akhir tahun ini.

FDI jadi mangsa Ekonomi Berpendapatan Tinggi,

Sumber asal : Utusan Online , 2 Ogos 2010 (di sini)
FDI jadi mangsa ekonomi berpendapatan tinggi?
Oleh AINUL ASNEIRA AHSAN DAN NORLAILI ABD.
bisnes@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 1 Ogos – Kejatuhan mendadak pelaburan langsung asing (FDI) ke Malaysia pada 2009 sebanyak 81 peratus kepada AS$1.38 (RM4.42 bilion) berbanding AS$7.31 bilion (RM23.40 bilion) tahun sebelumnya memang begitu mengejutkan.

Ia kerana, kejatuhan itu merupakan kejatuhan terburuk dalam tempoh 15 tahun.

Dunia mengakui 2009 adalah tahun sukar kepada semua ekonomi termasuklah negara-negara maju seperti Amerika Syarikat dan Eropah namun ia bukanlah alasan terbaik bagi Malaysia yang kehilangan FDI pada tahap yang membimbangkan.

Belum habis menangisi kehilangan FDI terburuk, Malaysia turut dimalukan oleh ‘jiran-jiran tetangga’ seperti Indonesia dan Vietnam yang selama ini lebih mundur dari Malaysia.

Di sebalik kemelesetan ekonomi global tahun lalu, Indonesia dan Vietnam masih mampu meraih pelaburan lebih tinggi berbanding Malaysia dengan masing-masing merekod AS$4.877 bilion (RM15.60 bilion) dan AS$4.5 bilion (RM14.4 bilion) FDI pada tahun lalu.

Indonesia hanya kehilangan AS$5.56 bilion (RM17.782 bilion) pelaburan asing manakala Vietnam pula adalah AS$3.55 bilion (RM11.36 bilion).

Sejak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengumumkan Laporan Pelaburan Dunia 22 Julai lalu, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) nampaknya begitu susah hati.

Nampaknya MITI semakin tertekan sehingga terpaksa membuat dua kali kenyataan kepada media.

Masakan tidak, MITI dikritik oleh semua pihak yang mempersoalkan kewibawaan kementerian itu yang diterajui oleh Datuk Seri Mustapa Mohamad sehingga kenyataan-kenyataan pedih yang dilemparkan terhadap agensi tersebut didakwa melemahkan semangat seluruh kakitangan.

Mustapa dalam kenyataan akhbar pada 26 Julai lalu memberi alasan aliran masuk FDI menjunam akibat terkena tempias krisis ekonomi global yang menyebabkan ramai pelabur berhati-hati sebelum membuat sesuatu keputusan perniagaan.

Sayangnya, kenyataan itu tidak boleh diterima kerana berdasarkan data tahap kompetitif Malaysia semakin jauh ketinggalan.

Mengambil contoh Thailand, meskipun mengalami krisis politik yang sukar sehingga mengheret rakyatnya berdemonstrasi selama berbulan-bulan, negara gajah putih itu masih mampu merekod FDI lebih tinggi iaitu sebanyak AS$5.94 bilion (RM19 bilion) berbanding Malaysia, sebuah negara yang aman damai.

Mustapa dalam pertemuannya untuk menjelaskan isu itu berkata, salah satu sebab kemerosotan aliran masuk pelaburan kerana Malaysia dalam proses transformasi ke arah ekonomi berpendapatan tinggi.

Justeru, Malaysia katanya, sukar untuk bersaing dengan negara-negara jiran seperti Indonesia dan Vietnam yang menawarkan kos buruh yang murah.

Yang menjadi persoalannya, apakah Malaysia rela berputih mata melihat pelabur asing memilih negara lain semasa proses transformasi ini berlaku?

Apakah kerajaan tidak bersedia dengan satu mekanisme yang membolehkan pelaburan terus masuk dan pada masa yang sama melakukan transformasi kepada ekonomi negara?

Atau ini adalah bayaran/hukuman yang patut diterima Malaysia kerana mahu berubah menjadi ekonomi berpendapatan tinggi?

Sedangkan sebagai sebuah negara yang sedang mengorak langkah menjadi negara maju, perkembangan ekonominya tidak harus terbantut oleh halangan-halangan seperti ini.

Kerajaan dalam Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) menyasarkan pelaburan swasta sebanyak RM115 bilion setahun bagi memastikan pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) berkembang sekurang-kurangnya enam peratus setiap tahun.

Selain itu, yang turut menjadi perhatian adalah ketidakseimbangan di antara aliran masuk dan aliran keluar pelaburan yang menyaksikan syarikat Malaysia melabur sebanyak AS$8.03 bilion (RM25.55 bilion) di luar negara.

Seorang penganalisis ekonomi berkata, sekiranya tiada tindakan drastik untuk memperbaiki kemasukan FDI, ekonomi Malaysia akan terperangkap selama-lamanya.

Ia kerana, negara-negara jiran terutama Vietnam dan Indonesia begitu agresif meningkatkan pertumbuhan ekonomi masing-masing dengan pendekatan yang holistik.

Dan, Malaysia tidak boleh hanya berpeluk tubuh dengan mengharapkan limpahan ekonomi negara-negara jiran untuk merasai tempiasnya kerana ia tidak akan berlaku.

Sudah tentu kita tidak mahu melihat generasi muda pada masa depan pula mencari kerja di Indonesia dan Vietnam, mencari sesuap nasi.