SELAMAT DATANG KE BLOG SAYA

Diharap anda dapat memberikan komen yang membina ke atas blog saya



Isnin, 28 Mac 2011

Makroekonomi :Penentuan Keseimbangan Pendapatan Negara
Nota
Pengenalan

Pada minggu ini kita akan menggunakan pendekatan lain untuk menentukan keseimbangan pendapatan negara.



Pendekatan tersebut ialah analisis permintaan agregat (AD) dan penawaran agregat (AS) atau analisi keseimbangan AD-AS. Analisis ini mengambil kira perubahan harga dalam penentuan keseimbangan dan perubahan-perubahannya.


Keluk permintaan agregat (AD)
Keluk AD menggambarkan hubungan antara tingkat harga dengan perbelanjaan agregat dalam ekonomi. Hubungan tersebut dapat ditunjukkan melalui gambar rajah berikut.

Gambar rajah (a) menunjukkan keseimbangan ekonomi yang dicapai mengikut pendekatan Keynesian. Andaikan pada mulanya tingkat harga asal adalah P0 dan perbelanjaan agregat adalah AE (P0). Pada tingkat AE (P0) ini, keseimbangan dicapai pada titik E0 , dengan keluaran negara benar adalah Y0.



Hubungan antara pendapatan negara pada keseimbangan Y0. dengan tingkat harga P0 ditunjukkan oleh gambar rajah (b) pada titik E0 .



Andaikan tingkat harga meningkat menjadi P1, Kenaikan tingkat harga ini akan menurunkan pendapatan benar masyarakat dan menyebabkan mereka kurang berbelanja. Kesan kenaikan tingkat harga ini akan menurunkan perbelanjaan agregat kepada AE (P1). Pada tingkat perbelanjaan agregat ini, keseimbangan baru dicapai pada titik E1 dengan keluaran negara benar adalah Y1



Hubungan antara pendapatan negara pada keseimbangan Y1 dan tingkat harga P1 ditunjukkan oleh gambar rajah (b) pada titik E1 .

Dengan menyambungkan titik E0 dan E1 pada gambar rajah (b) maka terbentuklah keluk AD. Keluk ini mencerun ke bawah dari kiri ke kanan menunjukkan terdapat hubungan songsang antara tingkat harga dengan keluaran negara benar.
Keluk penawaran agregat (AS)

Keluk penawaran agregat mempunyai cerun menaik dari kiri ke kanan. Ini bererti semakin tinggi tingkat harga, maka semakin banyak barang yang akan ditawarkan oleh pengeluar. Keluk penawaran agregat berbentuk demikian kerana dua faktor.



Yang pertama adalah disebabkan oleh hukum pulangan semakin berkurangan. Hukum ini menyatakan bahawa semakin banyak buruh yang digunakan maka semakin berkurangan keluaran buruh yang berikutnya. Apabila diandaikan upah buruh adalah sama, keluaran sut yang berkurangan itu akan menyebabkan kos pengeluaran semakin tinggi. Akibatnya, semakin banyak output dikeluarkan, kos sut menjadi semakin tinggi. Oleh itu penawaran keluaran negara benar yang lebih besar hanya akan berlaku apabila harga meningkat.


Seterusnya keluk AS yang mencerun ke atas disebabkan oleh kenyataan bahawa keluk penawaran buruh menaik ke kanan. Bermakna semakin banyak buruh digunakan, semakin tinggi upah seunit buruh yang akan dibayar. Sebagai akibatnya kos sut semakin meningkat apabila output benar meningkat. Oleh itu bentuk keluk penawaran agregat adalah seperti berikut:

Penentuan keseimbangan pendapatan negara dengan pendekatan AD-AS
Melalui pendekatan ini, keseimbangan pendapatan negara akan tercapai apabila jumlah permintaan agregat (AD) adalah sama dengan jumlah penawaran agregat (AS), iaitu AD = AS. Keadaan keseimbangan ini dapat ditunjukkan melalui gambar rajah berikut;

Merujuk gambar rajah di atas, apabila keluk AD bersilang dengan keluk AS maka berlakulah keseimbangan pendapatan negara. Ini adalah kerana pada titik keseimbangan tersebut jumlah permintaan agregat sama dengan jumlah penawaran agregat iaitu AD = AS. Oleh itu keseimbangan ini bererti, dalam ekonomi firma-firma akan mengeluarkan barang sebanyak OY0 dengan tingkat harga OP0.

Jika tingkat harga berada pada OP1, AS>AD. Lebihan AS akan menurunkan tingkat harga. Ini bermakna keseimbangan tidak tercapai pada harga OP1. Sebaliknya, jika tingkat harga berada pada OP2, AD>AS. Lebihan AD ini akan menyebabkan tingkat harga naik. Oleh itu pada tingkat harga OP2 juga keseimbangan tidak dicapai. Hanya pada tingkat harga OP0 sahaja keseimbangan pendapatan negara akan tercapai.
Kesan perubahan perbelanjaan agregat (AE) terhadap permintaan agregat (AD)

Keluk AD menunjukkan hubungan antara tingkat harga dengan jumlah keluaran negara benar yang diminta oleh masyarakat. Hubungan ini diperolehi dari fungsi AE yang bersilang dengan garis 450.

Oleh itu terdapatnya hubungan antara AE dengan AD iaitu, apabila berlakunya perubahan terhadap AE, maka AD juga turut berubah. Ini bermakna perubahan salah satu atau gabungan AE akan mempengaruhi AD. Jika terdapatnya pertambahan dalam pelaburan (I) dan perbelanjaan kerajaan (G), maka fungsi AE akan beralih ke kanan. Peralihan fungsi AE ini akan menyebabkan keluk AD juga beralih ke kanan dan sebaliknya.
Kesan perubahan keluk AD dan AS terhadap keseimbangan AD-AS
a) Kesan pertambahan permintaan agregat





Merujuk gambar rajah di atas, apabila terdapatnya pertambahan dalam AD, kesannya keluk AD akan beralih ke kanan. Peralihan keluk AD menyebabkan juga berubahnya titik keseimbangan dari E0 ke E1. Kesan daripada peralihan titik keseimbangan ini, keluaran negara benar akan meningkat dari OY0 ke OY1 dan tingkat harga juga turut meningkat dari OP0 ke OP1. Dengan peningkatan tingkat harga ini maka berlaku inflasi tarikan permintaan dalam ekonomi.



b) Kesan pengurangan penawaran agregat





Merujuk gambar rajah di atas, penawaran agregat (AS) berlaih ke kiri dan kesannya titik keseimbangan berpindah dari E0 ke E1. Peralihan titik keseimbangan akan menyebabkan keluaran negara benar merosot dari OY0 kepada OY1 dan tingkat harga telah meningkat dari OP0 kepada OP1. Oleh itu dalam ekonomi akan berlaku inflasi desakan kos.



c) Pengurangan permintaan agregat





Merujuk gambar rajah di atas, pengurangan permintaan agregat (AD) akan menyebabkab peralihan titik keseimbangan dari OE0 kepada OE1. Peralihan titik keseimbangan ini akan menyebabkan keluaran negara benar menurun dari OY0 kepada OY1 dan tingkat harga juga menurun dari OP0 kepada OP1. Oleh itu akan berlaku kemelesetan ekonomi dalam sesebuah negara.


d) Perkembangan teknologi

Apabila berlakunya perkembangan teknologi, maka pengeluaran dari sektor perusahaan akan bertambah. Ini akan menyebabkan keluk penawaran agregat AS beralih ke kanan AS1. Akibatnya, titik keseimbangan akan berubah dari E0 kepada E1. Pada titik keseimbangan E1 keluaran negara benar telah bertambah dan tingkat harga telah turun. Oleh itu dalam ekonomi akan berlaku stagflasi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan